SEBAB TIADA BONUS

BONUS!!!. Satu perkataan keramat yang menjadi popular pada setiap hujung tahun. Bagi kakitangan kerajaan, ia merupakan satu pemberian berbentuk wang ringgit yang diberikan oleh kerajaan sebagai menghargai sumbangan mereka (kepada negara?). Bagi pekerja swasta pula ia lebih merupakan penghargaan syarikat kepada mereka kerana turut serta terlibat dalam memberikan keuntungan kepada syarikat. Pemilik syarikat menjadikan pemberian bonus sebagai cara menunjukkan prestasi dan kedudukan syarikat. Semakin banyak bonus diberi, menunjukkan semakin mantap kedudukan dan prestasi syarikat. Kerajaan pula menjadikan bonus sebagai kayu pengukur kepada kedudukan ekonomi negara. Itu kebiasaannya, tetapi tidak pada kali ini. Pembentangan belanjawan 2000 membuktikan walaupun ekonomi kembali pulih, tetapi tiada bonus bagi kakitangan kerajaan. Kenapa begitu?. Inilah yang ingin kita perbincangkan.

Adakah bonus itu perlu diberikan kepada pekerja?. Memang tidak tercatat dalam undang-undang bahawa bonus merupakan peruntukan wajib kepada para pekerja. Namun ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh pekerja, malahan sebenarnya oleh kerajaan itu sendiri. Bukankah kerajaan itu termasuklah menteri-menteri kabinet. Memang kebanyakan menteri sudah mewah dengan wang ringgit hinggakan 50 sen bagi mereka tidak bernilai pun. Sedangkan jumlah wang itulah yang dibawa oleh murid-murid sekolah di kawasan luar bandar sebagai wang kocek bagi mengalas perut dari awal pagi hingga ke tengahari, malahan kadang-kadang ke lewat petang. Namun ada juga menteri kabinet, apatah lagi YB-YB yang baru je pertama kali menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat atau Parlimen. Kalau gaji anda sebanyak RM5000 sebulan dan bonus sebulan gaji diberikan, adakah anda ingin menolak wang sebanyak RM5000 itu. Kata orang yang menyokong kerajaan, "Sedangkan kakitangan kerajaan yang anti-kerajaan pun kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan apabila diberitahu mengenai pemberian bonus".

Pun begitu, yang rasionalnya bukanlah  kerana sebab di atas maka bonus perlu diberi setiap tahun. Rasionalnya, setiap orang yang bekerja makan gaji (bukan makan gergaji), biasanya gaji mereka cukup untuk belanja bagi tempoh masa sekitar sebulan sahaja. Itu memang kebiasaan. Apatah lagi kalau yang baru bekerja. Kalau ada yang mampu menyimpan wang gajinya, biasanya adalah sumber lain tu. Bukan kita tidak tahu berapa ramai orang yang bekerja makan gaji (terutamanya kakitangan kerajaan) yang terlibat dengan urusan lain. Urusan apa lagi kalau bukan urusan bisnes. Bahkan YB-YB dan menteri sendiri pun terlibat dengan dunia bisnes malahan dalam skala yang lebih besar lagi. Persetankan dengan peraturan yang melarang kakitangan kerajaan terlibat dengan perniagaan. Kata-kata yang bermaksud lebih kurang sedemikianlah yang kerap terhambur dari mulut mereka yang terlibat apabila diajukan pertanyaan mengenai peraturan berkenaan.

Jadi apa kaitannya belanja bulanan pekerja dengan bonus pemberian majikan?. Kaitannya, majikan yang mengupah pekerja, manakala pekerja pula memberi khidmat atas upah yang diterimanya dan kesan khidmatnya, ia biasanya mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada syarikat. Biasalah tu. Bukankah anda biasa mendengar rangkai kata "Give and Take". Ia juga ada kaitan dengan tanggungjawab majikan menjaga kebajikan pekerjanya. Inilah kaitannya dengan belanja bulanan pekerja tadi. Memang sesuai pun bonus itu diberi pada setiap hujung tahun sebagai menjaga kebajikan pekerja. Itulah masa 'paling tenat' bagi para pekerja, terutamanya yang sudah bekeluarga. Tentu kita semua faham maksudnya. Itulah ketikanya tahun baru akan mula menampakkan wajahnya. Tahun baru datang bersama banyak 'barunya'. Azam baru, baju baru, kasut baru dan sebagainya. Anak-anak akan memulakan persekolahannya pada kedudukan kelas yang lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Seperti biasa, segala-galanya perlu baru. Yuran persekolahan pun tidak kurang nilainya. Bagi yang ramai anaknya bersekolah, itu semua perlu didarab dengan jumlah anak yang bersekolah. Itu baru bab sekolah. Bagaimana dengan tahun ini?. Bukankah hujung tahun ini dan awal tahun depan ada beberapa perayaan yang akan menjelang tiba. Biasalah, di musim perayaan perbelanjaan akan bertambah. Timbul kisah 'baru' lagi. Langsir baru, cat baru, baju raya baru dan sebagainya lagi. Cukuplah dua tu, jangan cerita bab cukai jalan nak kena tukar baru dan sebagainya lagi. Jadi, tidakkah pemberian bonus oleh majikan itu satu sumbangan dari pihak majikan pula untuk membantu meringankan beban pekerjanya yang sebelum ini kita katakan "kais bulan September, makan bulan Oktober, kais bulan Oktober, makan bulan November......dan seterusnya. Tapi kais bulan Disember 2000, tak cukup pula nak belanja bulan Januari 2001.

Rasanya, kerajaan dan majikan memang mengetahui harapan para pekerja ini. Tapi kenapa pula kerajaan, sebagai majikan kepada kakitangan kerajaan tidak mahu memberi bonus pada tahun ini?. Ada banyak sebab yang diperkatakan. Malahan sebelum belanjawan dibentangkan pun, dah ramai yang mengetahui dan memperkatakannya. Maklumlah sekarang ni dunia IT, segalanya pantas. Kita belum bercakap, orang dah tahu. Rahsia kerajaan bukan lagi menjadi perkara yang benar-benar sulit. Itulah kesannya reformasi dan penutup kepada reformasi pada tahun ini, NO BONUS!!!.

Sudah berjela ni, belum lagi masuk sebab tiada bonus. Baiklah kita tengok dari pelbagai sudut. Pertamanya sudut kerajaan. Kata kerajaan (atau Daim, atau Mahathir), kenaikan gaji 10% melebihi bonus. Memang betul pun kan. Kenaikan gaji tu melebihi bonus sebulan gaji. Persoalannya adakah sama gaji dengan bonus?. Ohh... terlupa saya ia mungkin sama, walaupun dari segi istilah dan bahasa ia tidak membawa makna yang sama. Tentu kita ingat bagaimana Royalti adalah Ihsan dan Ihsan adalah royalti. Tapi hujah  yang lebih baik dari rakan-rakan, bukankah kenaikan 10% itu pemberian belanjawan tahun lepas. Kenapa pula dikaitkan dengan belanjawan tahun ini. Ya tak ya juga. Terlupa pula saya. Betullah kata orang, orang Melayu akan lupa bila 100 hari berlalu. Tapi rakan-rakan saya tu Melayu juga. Inilah satu lagi kesan reformasi, Melayu tidak semuanya akan lupa selepas 100 hari. Majoritinya sudah berubah. Itulah jika dulu "Melayu Dalam Dilema", kini Mahathir Dalam Dilema. Lagipun itu lainlah. Belanjawan tahun lepas tu belanjawan pilihanraya. Belanjawan tahun ni, pilihanraya lambat lagi. Lagipun MT dah setuju nak ahli-ahli MT ikut tempoh parlimen. Lambat lagi pemilihan tu.Relaklah.

Seperkara lagi, kenaikan 10% tu memang patut pun. Dah berapa lama kenaikan sebegitu tidak berlaku. Kalau banding dengan sektor swasta gaji bagi kakitangan gred yang sama jauh lebih tinggi. Malahan gaji kakitangan kerajaan berkenaan jika dicampur bonus sekalipun tidak akan dapat menyamai gaji kawan sepengajiannya di Universiti dulu, walaupun jika hanya dikira gaji pokok sahaja kawannya itu, tidak termasuk elaun dan bonus. Apatah lagi jika ada sesetengah syarikat yang menawarkan pemberian dalam bentuk saham yang bernilai US Dollar pula tu.

Apa pula CEUPACS kata?. Kata mereka (atau Siva?), kerajaan sangat prihatin. Ia memang akan berikan. Tetapi tidak perlu diumumkan dalam belanjawan. Jika diumumkan, harga barang akan meningkat. Esok apabila bonus diberi, harga barang akan meningkat lagi. Ini akan merugikan kita juga. Tambah Siva lagi. Lain macam saja bunyinya. Hairan pula kita, kenapa hal ini tidak dibangkitkan apabila belanjawan-belanjawan sebelum ini, pemberian bonus dinyatakan secara terbuka di parlimen. Ada rakan-rakan menyatakan seperti ada pakatan pula antara CEUPACS dan kerajaan. You mintalah Dua bulan, jangan satu bulan. Nanti kita akan beri satu bulan, jadi you dapat benefit, kita orang pun dapat benefit juga. Situasi "Win-Win". Kalau you minta satu bulan dan kita beri satu bulan, nanti orang kata kerajaan takut CEUPACS pula. Kita orang sebenarnya, saja nak uji mereka tu. Padan muka mereka dengan yang anti kerajaan tu. Tengok apa mereka nak kata. Tengoklah sampai ke hari ini, yang anti kita dulu yang tadahkan nyiru tu bila sebut bonus, sepatah haram pun tak berani nak ulas. Takut orang kata, kerajaan kau tak sokong, tapi bonus kau nak. Nah lantak kau!.

Apa pula kata geng reformasi?. Kerajaan tak bagi bonus sebab tak cukup wang. Maklumlah, nak beri polis lagi, kastam lagi, tentera lagi, guru-guru besar dan pengetua yang sokong kerajaan lagi. Pertamanya mereka kena hargai orang yang setia dengan mereka tu. Lagipun buat apa nak bagi dengan kita?. Kan ramai kakitangan kerajaan macam kita yang anti kerajaan. Ini kira dia orang balas dendamlah.Kita pun bukannya ingin sangat dengan duit bonus tu. Sedarlah sikit duit yang dia orang belanjakan tu duit siapa?. Duit rakyat tau. Duit kita-kita juga. Daripada cukai pendapatan kita, perbelanjaan kita ke atas barangan bercukai dan lain-lain lagi. Bukan semua rakyat sekong mereka. Ramai juga yang tidak sokong mereka. Kalau orang Melayu, lebih separuh dah tak sokong mereka lagi. Sedarlah sikit, duit itu amanah saja. Jangan salah belanja pula.

Dah banyak sebab tu. Nak lagi?. Cukuplah. Inipun, kalau hantar ke akhbar tempatan, belum tentu disiarkan.Kalau nak siar juga. Lembaga Penapisan Pendapat perlu teliti dulu. So, cukuplah kalau kau siarkan dalam ruangan pendapat tu. Kalau-kalau ada kekawan yang semangat, mungkin dia tolong perhebahkan dan buat salinan. Itu dah kira ok lah. Inikan bumi Malaysia. Demokrasi. Kita ada hak untuk berikan pendapat. Sama macam kerajaan ada hak untuk berikan bonus ataupun tidak. Suka atau tidak terima sajalah. Kalau tak suka, pilihlah kerajaan yang boleh beri bonus. Sama juga dengan pekerja swasta. Pasti ada syarikat yang tidak berikan bonus nanti. Kata mereka, kerajaan pun tidak beri bonus. Kalau macam tu, jika tak suka, carilah majikan yang boleh beri bonus. Mudah saja kan. Kalau tidak, lupakan saja, bonus ini hanyalah satu perkara kecil sahaja daripada pelbagai perkara yang muncul dan pergi dalam kehidupan harian kita. OK gua pergi dulu.

Mr. XRay 2000             email: mr_xray_2000@hotmail.com

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |