Make your own free website on Tripod.com

 

Bersedia melayani kerenah komputer

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Dengan kemudahan yang membolehkan seseorang mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli komputer, maka sudah pasti kini banyak keluarga sedang memasuki alam teknologi maklumat (IT) yang serba canggih.

Harapan keluarga-keluarga itu sememangnya tinggi, dengan memikirkan komputer akan mengubah hidup mereka dan meletakkan masa depan anak-anak pada pelantar yang boleh melancarkan mereka menyertai k-ekonomi pada masa akan datang.

Namun begitu, keluarga-keluarga itu harus sedar bahawa komputer hanyalah sebuah alat teknologi. Seperti juga televisyen, kereta, motosikal dan jentera-jentera lain. Cumanya ia lebih canggih dan mampu mengubah hidup seorang kerana ia merupakan alat penyalur maklumat. Maklumat itulah yang mengubah hidup seseorang.

Seperti alat-alat teknologi lain, komputer bukannya sebuah alat yang sempurna. Cepat atau lambat, ia akan mengalami kerosakan. Inilah kadang-kadang yang susah hendak diterima oleh pengguna baru.

Mereka memikirkan bahawa setelah mengeluarkan belanja yang tinggi, mereka akan memperoleh sebuah alat yang sempurna dan tidak akan rosak. Tetapi mustahil mana-mana alat tidak rosak. Jika mereka boleh menerima bahawa kereta atau motosikal boleh rosak, acap kali pengguna baru seolah-olah seperti tidak percaya bahawa komputer boleh rosak.

Tetapi komputer memang mudah rosak. Punca kerosakannya pula pelik-pelik, tidak seperti kereta atau motosikal yang agak mudah difahami punca kerosakannya.

Tambahan pula apabila menghadapi kerosakan jentera lain, adalah mudah untuk dihantar ke kedai untuk dibaiki. Bengkel kereta dan motosikal berada di mana-mana. Tetapi bengkel komputer, bukan saja sukar untuk ditemui, tetapi yang ada pun sukar untuk dipercayai.

Tidak ada piawai pada pembaik komputer. Kadangkala anda seperti kena tipu. Hanya untuk memasang kembali sesuatu perisian biasa, anda dikenakan RM100.

Asas yang menjadi masalah ini adalah wang. Komputer bukan saja mahal, tetapi menjaganya juga memerlukan pembiayaan besar.

Memang ramai orang inginkan komputer kerana manfaatnya yang besar tetapi untuk membelanjakan RM3,000 dirasakan begitu mahal. Tidak seperti motosikal atau kereta, tanpa komputer, kehidupan seharian tidak terganggu.

Maka apabila dibenarkan mengeluarkan wang KWSP, ramai yang melihat perkembangan ini sebagai peluang untuk membeli komputer.

Sungguhpun begitu, masyarakat kita kurang jujur dan ramai yang mengeluarkan wang KWSP dengan alasan untuk membeli komputer tetapi akhirnya menggunakan untuk keperluan lain.

Mereka fikir seolah-olah KWSP itu wang mutlak mereka dan mereka boleh melakukan apa saja terhadapnya. Sedangkan itu merupakan wang amanah untuk hari tua. Mereka lupa kepentingan simpanan untuk hari tua. Ia diwujudkan atas usaha kerajaan untuk memastikan rakyat tidak lupa hari tuanya.

Wang yang sebenarnya milik seseorang pencarum hanyalah sebahagian. Bahagian yang lain adalah sumbangan daripada tempat kerja masing-masing atas arahan kerajaan untuk menjamin masa depan hari tua. Ia hanya menjadi milik mutlak seseorang apabila sudah sampai waktunya.

Arahan kerajaan untuk melepaskan wang KWSP untuk pembelian komputer ini adalah memandangkan kepada keperluan rakyat negara ini memasuki dunia IT supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam k-ekonomi pada masa akan datang.

Maka untuk mengatasi masalah ini, pembelian komputer harus dilakukan melalui Pos Malaysia Berhad. Maka syarikat itu telah mencebur dalam bidang pengedaran komputer, yang menyimpang daripada perniagaan asal mereka iaitu mengendalikan surat.

Akibatnya banyaklah pengedar komputer yang kecil merasakan bahawa dasar itu sebagai monopoli syarikat-syarikat besar kerana mereka tidak berpeluang untuk mengaut keuntungan daripada kelonggaran mengeluarkan dana KWSP itu.

Pos Malaysia boleh memasang komputer di rumah-rumah. Malah dengan pengalaman itu, mungkin syarikat ini akan muncul sebagai pemasang komputer yang mahir.

Tetapi menurut laporan, syarikat itu telah menyatakan bahawa mereka tidak ada perkhidmatan lepas jualan. Kalau rosak atau ada masalah, pengguna harus merujuk kepada pembekal komputer asal.

Di sinilah akan muncul masalah yang akan dihadapi oleh pengguna kelak. Komputer banyak kerenah dan akan mendatangkan banyak masalah. Ia boleh membawa kepada kekecewaan.

Wang yang banyak akan diperlukan untuk memeliharanya lebih-lebih lagi pengguna-pengguna belum begitu mahir dalam pengendaliannya.

Golongan yang mudah memahirkan diri dengan komputer adalah kanak-kanak. Saya percaya akhirnya di rumah, kanak-kanak akan menguasai komputer itu. Malah ibu bapa yang akan bertanya kepada anak-anak mereka tentang masalah-masalah komputer.

Sememangnya harapan ibu bapa, anak-anaknya akan menggunakan komputer untuk pelajaran mereka.

Pada umumnya pelajar-pelajar perempuan akan menggunakan komputer untuk membuat bahan-bahan pelajaran yang kemas dan mengagumkan.

Tetapi kebanyakan komputer akan didominasi oleh pelajar-pelajar lelaki yang akan berjam-jam menggunakannya untuk bermain dengan permainan komputer (CG). Bermacam-macam CG yang kompleks, ganas dan mencabar akan menjadi permainan mereka.

Dengan adanya komputer, ia bermakna permainan video sudah dibawa masuk ke dalam rumah. Yang baiknya, remaja-remaja ini akan duduk di rumah dan tidak merayau ke tempat-tempat yang lebih berbahaya, termasuk kafe siber.

Namun begitu, kalau tidak dipantau dengan baik, anak-anak akan menjadi leka dan mutu pelajaran mereka boleh merosot kerana ketagih dengan permainan komputer ini.

Tetapi bahaya yang lagi satu ialah penyalahgunaan Internet. Penggalakan penggunaan Internet adalah untuk meningkatkan penggunaan maklumat di kalangan rakyat, di samping membiasakannya untuk e-dagang.

Tetapi masyarakat kita bukannya mencintai ilmu. Kalau buku pun mereka segan membaca, apatah lagi maklumat yang bermanfaat dalam Internet.

Memahami masyarakat yang kurang jujur ini, maka tidak mustahil, akhirnya Internet digunakan untuk melihat gambar-gambar lucah dan berseronok membaca bahan-bahan fitnah.

Namun begitu, kita terpaksa melalui perkara-perkara ini kerana gelombang Internet dengan segala masalahnya adalah suasana masa depan dunia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/content_m.asp?url=/utusan/today/Utusan_Malaysia/Others/ot2_full.htm    
18 Nov 2000

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |