Dimana-mana sekarang ini, masyarakat Islam adalah di antara masyarakat yang daif, tertindas, berpecah-belah, tidak bertamadun dan tidak segan silu menyalahgunakan harta dan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Kepimpinan masyarakat Islam letih lesu, kurang bermaya, terpesong dari ajaran Islam sebenarnya. Para ulama yang pada satu ketika dulu bertanggungjawab menyemarakkan semangat Islam, menentukan arah politik negara, sekarang berada di tahap paling ke bawah dalam masyarakat. Ada ulama yang lebih senang mengambil sikap menyembunyikan diri daripada menyatakan kebenaran. Kebijaksanaan, kearifan dan ketawadhukan mereka sudah tidak menjadi penentu yang sah lagi dalam sebarang pengurusan dan pentadbiran.

Akhlak tidak lagi menentukan politik, tetapi sebaliknya politik yang bermaharajalela menentukan akhlak. Islam tidak lagi mendasari kehidupan dan politik, tetapi sebaliknya politiklah yang kini mendasari Islam. Berbagai kejutan berlaku sekarang ini dan kadang-kadang letupan tercetus di luar dugaan. Korupsi pelbagai jenis korupsi, dengan lesen terbangnya, dengan video judinya, dengan korupsi sistem tendernya dan pelbagai lagi. Penyalahgunaan kuasa tanpa batasan secara terbuka , ibarat tubuh tanpa dilapisi seurat benang, berebut kedudukan dan usaha memenuhkan tembolok masing-masing tanpa mengira halal haram, terhakisnya sifat malu dan segan silu, kes-kes rogol ngeri dan menyayat hati (kes pemandu bas gila seks), 'kisah haruan memakan anaknya', dan terlalu banyak lagi yang sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini yang semakin terdedah kepada dunia maklumat tanpa sempadan.

Tidak guna kita menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini, perkara itu dan perkara ini, sebab itu dan sebab ini. Asasnya adalah kita sendiri. Diri kita sendiri. Sejauh manakah kefahaman kita tentang Islam itu sendiri sebagai satu cara hidup. Sejauh manakah pula kita menerapkan jiwa Islam itu kepada anak-anak kita. Sejauh mana?. Atau adakah kita menyerahkannya kepada masyarakat seluruhnya atau kepada keadaan sekeliling kita untuk menentukan sejauh mana Islam itu akan difahami nanti. Apa yang terjadi sekarang adalah kerana kurangnya asas dan kefahaman Islam dalam diri kita. Kalau adapun kefahaman itu, tetapi kita gagal melaksanakannya. Gagal mengapplikasikannya dalam kehidupan kita. Kita tidak tahu melaksanakan tanggungjawab kita. Kita tidak tahu menggunakan ilmu yang kita ada. Kenapa kita memilih pemimpin yang korup, kenapa memilih pemimpin yang menggunakan Islam untuk kepentingan politik mereka, kenapa kita?.Kenapa kadangkala kita mempertahankan perkara yang salah kerana kepentingan peribadi kita?. Atau kerana kepentingan politik kita?. 

Kenapa kita membiarkan apa sahaja kepincangan dalam masyarakat untuk ditangani oleh orang lain. Kita menyatakan, ohhh ini tugas mereka. Yang ini tugas kumpulan ini pula.... jadi apa tugas kita? Melihat sahaja?, menilai dan mengkritik sahaja?. Biarkan saja... biarkan masyarakat Islam terjun dengan labu-labunya.

Malang sekali, di kala ramai orang Islam (ramai kerana lahir sahaja sudah dalam Islam), semakin ramai dikatakan cerdik pandai Islam, orang Islam sudah dikatakan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan lain, tetapi sangat malang apabila golongan cerdik pandai Islam ini, jika ilmu di dada sahaja tinggi melepasi gunung, biarpun mencecah hingga langit ke tujuh sekalipun, tetapi jika tidak dipraktikkan, tidak diamalkan, tidak dilaksanakan, tidak disampaikan untuk kefahaman orang lain pula, apalah gunanya.Renungkanlah!.

Masing-masing kita mempunyai tanggung-jawab masing-masing. Ada peranan masing-masing. Bukan hanya mengharapkan orang lain sahaja melakukannya. Itulah namanya hidup bermasyarakat. Tiap orang berperanan. Biar siapapun ia. Pemimpin dengan peranannya. Orang biasa juga ada peranannya. Jelasnya kepincangan sekarang kerana masing-masing tidak melaksanakan tanggung-jawab atau melaksanakan sekadar melepaskan batuk di tangga.Ibu-bapa menyerahkan perananya kepada guru, masyarakat menyerahkan bulat-bulat kepada pemimpin, ulama pula entah kini telah menyerahkannya kepada siapa, jadilah keadaan kacau bilau dan caca merba. Ada yang meninggalkan peranan sendiri dan melaksanakan peranan orang lain. Ahli politik menjadi ulama, ulama menjadi usahawan, guru menjadi bapa/ibu kepada pelajar, bapa pula akhirnya menjadi musuh (rogol anak sendiri). Apa semua ini. Fikirkanlah!!!. Tugas siapa sekarang ini untuk membetulkan semuanya.

Kembalilah!!!!. Kembalilah kita semua kepada peranan masing-masing. Sesuai dengan ilmu di dada kita. Jangan lagi berlepas tangan. Jangan menyerahkan kepada tindakan orang lain. Fahamilah tanggungjawab masing-masing. Pemimpin - memimpin ke arah kebaikan dan kemercu kegemilangan masyarakat Islam, guru membimbing dan menyampaikan ilmu demi kemajuan orang-orang Islam, ibu-bapa menerapkan semangat Islam dalam kehidupan keluarga, ulama jangan berdiam saja, laksanakan dakwah anda, letakkan politik di dalam ruang lingkup Islam, bukannya Islam di dalam ruang lingkup politik. Jika tidak, apabila sudah tida ruang, lingkuplah jadinya.

Sekian, pesanan ini untuk diri saya, keluarga saya dan masyarakat Islam seluruhnya.

JIWA MERDEKA, 2000.


 | Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |