Sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan sukan Malaysia bukan setakat buat 'post mortem' demi 'post mortem' tetapi melakukan perubahan yang drastik dan secara serius pengurus pasukan yang sedia ada perlu berhenti membuang masa sukan Malaysia.

Malaysia tidak perlu berbangga dengan hanya menjadi penggelola sukan yang terbaik kerana negara lain akan membuat lebih baik kemudiannya. Malaysia tidak perlu berbelanja beribu juta ringgit melobi untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik atau Sukan Asia atau apa-apa kejohanan bertaraf dunia. Cuma perlu memberi keutamaan yang betul.

Tak guna jadi tuan rumah yang tak menang apa-apa pingat pun. Duit berjuta-juta yang digunakan untuk menghantar berpuluh-puluh pengurus sukan berpuluh-puluh kali keluar negara untuk tujuan melobi patut digunakan untuk meningkatkan program sukan negara. Lihatlah pencapaian atlet kita di Sydney 2000. Bukankah membuang masa sahaja. Lebih buruk daripada apa yang dicapai di Olimpik di Atlanta.

Lupakan bola sepak, hoki, larian trek, renang, lumba basikal, ragbi, tinju dan lain-lain sukan yang memerlukan kelebihan fizikal untuk pertandingan peringkat dunia. Malaysia tidak akan ke mana. Percayalah. Biarlah 'bola mania' Malaysia yang sedang terkial-kial untuk bernafas semula menjadi mainan peminat bola tempatan.

Belanja besar untuk menghantar pasukan hoki hnaya untuk mendapat tempat ketujuh hingga kesepuluh dalam mana-mana kejohanan lebih baik digunakan untuk melatih tiga orang pemanah. Sebaliknya, Malaysia harus memberikan tumpuan kepada sukan menembak, acara sukan air (bukan renang), memanah, bowling, gimnastik dan lain-lain acara sukan yang tidak memerlukan kelebihan fizikal. Mungkin juga squash dan badminton.

Di sinilah peluang bagi Malaysia untuk meraih pingat di peringkat dunia. Tetapi bukan mengharapkan askar atau polis atau orang 'tua' untuk dilatih. Kita kena mulakan daripada peringkat rendah dan yang pentingnya, sukan Malaysia memerlukan atlet yang berfikir. Inilah yang biasanya yang kurang di kalangan atlet kita. Ada sekolah khas untuk sukan pun tidak membawa apa erti.

Keupayaan jurulatih perlu dipertingkatkan dengan teknik dan pendekatan latihan terkini. Mereka juga perlu selalu mendapat latihan. Sudah tiba masanya pengurus sukan yang terlalu lama memalukan sukan Malaysia berhenti. Masa untuk satu orang mengurus beberapa persatuan sukan juga telah berlalu. Politik sukan Malaysia sebenarnya sudah terlalu lama memberi muka kepada pengurus dan pegawai sukan yang gagal.

 

Kamaruzzaman, Shah Alam  

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |