PILIHAN RAYA PALING PELIK DALAM SEJARAH

Daripada Salmy Hashim

WASHINGTON, 10 Nov 2000 (Bernama) -- Seluruh dunia pasti tertanya-tanya kesilapan pada pilihan raya paling penting untuk memilih presiden setiap empat tahun sekali.

Ia merupakan pertembungan pada abad ini -- antara Gabenor Texas George W. Bush dan Naib Presiden Al Gore - dan masih kabur siapakah pemenangnya.

Agak aneh bahawa pilihan raya presiden di negara ini tidak bergantung secara langsung pada undi popular untuk menang.

Walaupun Gore mendapat 49,059,929 undi dan Bush kurang sedikit, iaitu48,858,333 undi, Gore tidak menang secara automatik.

Setiap negeri ditugaskan mengendalikan beberapa undi pemilihan berdasarkan jumlah penduduknya. Seorang calon perlukan sekurang-kurangnya 270 undi pemilihan sebelum beliau boleh diisytiharkan sebagai pemenang.

Florida, pusat pengundian yang menjadi punca masalah itu, mempunyai 25 undi pemilihan.

Oregon, yang hanya mempunyai satu undi pemilihan, masih mengira jumlah undi pos. Tanpa Florida dan Oregon, Bush mempunyai 246 undi pemilihan berbanding Gore dengan 260 undi.

Kali terakhir Presiden Amerika Syarikat dipilih berdasarkan undi pemilihan ialah pada 1876 apabila anggota Republican Rutherford B. Hayes memperolehi kemenangan 185-184 mengatasi calon Democrat Samuel B. Tilden.

Lebih aneh lagi ialah bahawa negara ini, yang mengangung-agungkan demokrasi mengatasi perkara lain, tidak mempunyai cara mengundi kebangsaan yang standard.

Dengan masalah di Florida, seluruh dunia mendapat tahu bahawa setiap daerah di 50 negeri di Amerika Syarikat mempunyai cara mengundi tersendiri. Daerah-daerah di Virginia, misalnya, hanya menekan butang dan mengundi secara automatik.

Bagaimanapun, pengundi di daerah Palm Beach di Florida, masih menggunakan kaedah kuno yang digunakan di sesetengah negara dunia ketiga iaitu menebuk lubang pada kertas undi untuk mengundi calon pilihan mereka.

Perkara itu tidak mendatangkan masalah pada pilihan raya sebelum ini, tetapi pengundi pada tahun ini terkeliru dengan Pat Buchanan, calon parti Reform yang disangkakan calon Democrat Al Gore, yang membawa kepada pengiraan semula yang mungkin tidak akan selesai sehingga 17 Nov.

Apabila seorang pengundi ditanya kenapa Amerika Syarikat tidak mempunyai cara mengundi yang standard, jawapannya ialah "rakyat Amerika dari dahulu tidak percayakan pada kerajaan persekutuan".

Pengundi mahu menggunakan kaedah mengundi mereka sendiri. Tinjauan terbaru oleh America Online menunjukkan lebih 80 peratus mereka yang disoal selidik pada Khamis mahu mempunyai cara pengundian kebangsaan standard berikutan masalah di Florida.

Pengiraan tidak rasmi oleh Associated Press menunjukkan Gore telah mengurangkan lebihan undi Bush kepada 229 undi (daripada lebih 1,700 pada Selasa) dengan 65 daripada 67 daerah di Florida dikira semula. Hampir enam juta orang mengundi pada Selasa di Florida.

AP melaporkan bahawa lapan saman telah difailkan di mahkamah-mahkamah negeri dan persekutuan bagi mencabar keputusan Florida, termasuk enam di Palm Beach County dan dua di Tallahassee. Saman balas oleh Parti Democratic tidak akan difailkan sehingga minggu depan, kata pegawai parti.

Pengundi Palm Beach County meminta diadakan pilihan raya baru kerana menurut mereka kertas undi terlalu mengelirukan. Beribu-ribu kertas undi tidak dikira kerana ditekan sebanyak dua kali. Parti Democrat menyatakan penyokong Gore telah mengundi Buchanan - kemudian mengundi Gore selepas menyedari kesilapan mereka.

Pembantu kanan Bush berkata Palm Beach County adalah tanah air kepada 17,000 pengundi yang bersekutu dengan Parti Reform, dan beribu-ribu kertas undi di Palm Beach County dikira sebagai undi rosak pada 1996.

Di Florida, Pengerusi Kempen Gore, William Daley berkata Democrat akan meminta pengiraan yang lebih teliti, kiraan kedua kertas undi yang dibuat di daerah Palm Beach, Dade, Broward dan Volusia - kira-kira 1.78 juta undi, kebanyakan mereka penyokong Democrat.

Selepas semua kekeliruan ini, orang akan berfikir bahawa calon yang menang di Florida akan menjadi Presiden Amerika Syarikat Ke-43 pada 17 Nov.

Tangguh dahulu perutusan tahniah! Ia tidak semudah itu. Sebanyak 538 anggota apa yang dipanggil "electoral college" akan mempunyai kata putus. Pemilih berkenaan akan mengundi pada 18 Dis dan Kongres ke-107 yang baru, bersidang pada sesi bersama pada 6 Jan 2001, akan mengiranya.

Pengundi Amerika mengambil mudah bahawa wakil pemilih mereka akan mengundi selaras dengan undi popular. Bagaimanapun, "pemilih yang tidak jujur" mungkin berubah dan mengundi calon yang satu lagi.

Ini berlaku pada 1988 (Michael Dukakis lwn George P. Bush) , 1968 (Richard Nixon lwn George Wallace) dan pada 1976 (Ronald Reagan lwn Gerald Ford).

Jika hanya dua pemilih berubah pendirian dan tiada calon mendapat majoriti, kemudian pilihan raya 2000 akan diputuskan oleh anggota perwakilan yang baru dipilih, dengan setiap negeri memberikan satu undi.

Dewan perwakilan dan Senat, yang dikuasai oleh parti Republican dengan majoriti tipis, kemungkinan akan memihak kepada Bush. -- BERNAMA
sumber :   http://www.bernama.com/bernama/bm/index.htm     - Sabtu, 11 Nov 2000.

 | Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |