Saya ingin mengulas tulisan Kassim Ahmad di dalam Utusan Malaysia bertarikh 3 Oktober 2000 dan ingin menumpukan kepada isu murtad. Idea beliau yang menganggap murtad tidak boleh diatasi dengan undang-undang adalah lebih kurang sama dengan menganggap jenayah-jenayah lain seperti membunuh dan merompak tidak boleh diatasi dengan undang-undang. Tiada undang-undang di dunia ini yang akan dapat mengatasi apa-apa jenyah yang dilakukan oleh manusia. Tetapi fungsi sebenar undang-undang adalah untuk mencegah dari berlakunya jenayah. Undang-undang adalah disiplin manusia. Tanpa undang-undang dan tanpa penguatkuasaan, kacau bilaulah hidup kita.

Undang-undang ialah penghukum mereka yang salah dan pembela mereka yang benar. Berapa ramaikah bilangan mereka yang murtad yang akan menyebabkan kita mula menganggap ini adalah satu masalah?. Adakah seorang murtad tidak merupakan masalah?. Adakah 50 orang yang murtad tidak cukup ramai untuk kita menyatakannya adalah masalah yang perlu kita atasi?. Adakah bila 10,000 orang murtad, baru kita gelabah?. Hakikatnya, walaupun seorang yang murtad, namun bagi sebuah negara Islam ia merupakan petanda buruk. Murtad di sisi Allah adalah kesalahan yang paling besar.

Orang yang murtad adalah lebih buruk daripada orang yang tidak pernah menganut Islam. Adalah lebih baik 200 orang Islam yang sebahagian mereka soleh kepada agamanya dan sebahagian lagi kurang semangat mengamalkan agamanya berbanding 100 orang yang soleh dan 100 orang yang murtad. Sekurang-kurangnya dengan bernama seorang Islam, guru-guru di sekolah boleh mengajar anak-anak mereka dengan ajaran Islam. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik daripada ibu bapa mereka dalam mengamalkan agama mereka.

Biarlah mereka kekal di dalam Islam walaupun terpaksa kerana itulah yang lebih baik bagi mereka. Inginkah saudara melihat mereka terbakar selamanya di dalam neraka selama-lamanya jika mereka murtad?. Takutlah jikalau saudara sendiri ditarik mereka di titian sirat kerana tidak menahan mereka daripada murtad.

Kebebasan sentiasa mutlak tetapi kita tidak boleh bebas tanpa undang-undang. Ibu bapa bertanggungjawab di atas didikan pelajaran dan agama semasa di bawah jagaannya dan masih memegang saham kejayaan atau kegagalan anaknya. Itulah makna tanggungjawab. Anak yang masih tidak beriman selepas ibu bapa berusaha sedaya upaya, bukan salah ibu bapa itu, tetapi biasanya ibu bapalah yang mencerminkan peribadi anaknya.

Dalam hal ini persekitaran memainkan peranan penting. Sekali lagi pentingnya undang-undang di dalam mengawal persekitaran. Apa kata saudara jikalau anak perempuan saudara dipujuk dan dirayu oleh jejaka bukan Islam dan dia tertarik kepadanya dan seterusnya meninggalkan agama Islam?.Adakah saudara akan tidak berubah dan akan menghormati keputusan anak saudara itu?. Mungkin saudara merasakan anak saudara sudah diberikan didikan yang sewajarnya dan dia tidak akan berbuat demikian?.Mungkin itulah apa yang kebanyakan uamt Islam di Malaysia fikirkan tetap imurtad tetap berlaku dan ia meninggalkan kesan yang amat mendalam ke atas keluarga yang mengalaminya.

Islam yang sumbernya daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah dan keputusan berkaitan murtad hendaklah didasarkan kepada kepada kedua-dua iaitu Al-Quran dan Sunnah. Murtad yang berlaku di kalangan umat Islam sekarang hendaklah dijadikan pengajaran oleh pihak kerajaan dengan mempertingkatkan pendidikan Islam di sekolah dan yang paling penting mengatakan dengan terbuka yang murtad adalah salah.Sikap terbuka ini sangat penting sebagai langkah awal untuk menyedarkan masyarakat tentang wujudnya masalah ini.

Hafidz Daud, Tennesse, A. Sykt.

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Pendapat Pilihan |