BEBERAPA CATATAN DI PANTAI

Sentuhan angin yang ramah
deru ombak menghempas tebing
pasir-pasir berdesir
 
Daun-daun ru menari-nari
tiba-tiba seekor merpati putih
mematuk dan mengais-ngais pasir sendirian
dan sepasang merpati lain sedang mesra berbicara
bersandar pada batang di bawah rimbunan ru muda
 
Beberapa orang kanak-kanak berlari riang
berkaki telanjang mengaduh dan terjatuh
digigit kaca
tumit yang putih bertukar merah
 
Di tengah laut pulau yang berbalam-balam
gulungan ombak biru putih bertandang dan pergi
cahaya matahari senja bagai warna emas
memercikkan sinar dalam pelbagai adunan
dan pandangan yang menakjubkan
 
Aku pulang dengan suatu bisikan
alangkah indah kejadian Tuhan.

Abham T.R., Pasir Putih

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Puisi Pilihan |