Pesan buat Tuah

Tuah,
jika kau pernah berdiri
di bumi Melaka
yang mencatat sejarahmu
tentunya kau yang arif berceritera
bagaimana dapat kau tewaskan
sahabatmu si Jebat
yang dikatakan derhaka.
 
Tuah,
jika keris Taming Sari milikmu
sudah tersua
apakah keris itulah
yang menikam dengan kejamnya?
 
Tuah,
betapa setianya kau berbakti
demi raja berdaulat
sehingga terhambur merah darah Jebat
mengalir membasahi bumi Melaka
akibat angkara murka raja.
 
Tuah,
walau apapun yang terjadi
darah pahlawanmu
terus mengalir deras
ke dalam urat nadi bangsamu
kerana kau pernah berkata;
"Tak akan Melayu
hilang di dunia".
 
- IDA S, DPMP, Raub Pahang.

 | Kembali Ke Laman Utama | Arkib Puisi Pilihan |