Alhamdulillah Atas Sakitmu

Ibnu Abi Daud adalah seorang Kadi di zaman Khlaifah Al-Mu'tashim dan Al-Wathiq. Beliau seorang yang alim, dermawan dan baik budi pekertinya. Sayang, beliau pula yang mencetuskan huru-hara di kalangan umat Islam kerana beliau salah seorang pendukung fahaman bahawa Al-Quran itu makhluk. Dengan kedudukan sebagai Kadi, Ibnu Abu Daud telah mempengaruhi Khalifah agar menghukum orang-orang yang menentangnya. Beliau berkeras dan tetap tidak mahu merubah pendiriannya sekalipun beberapa ulama terkenal telah mengalahkan hujahnya. Malah orang yang mengalahkannya dilaporkan kepada Khalifah agar ditangkap.

Di masa tuanya, Ibnu Daud telah ditimpa penyakit lumpuh yang membawa kepada ajalnya. Selama empat tahun beliau terlantar di atas katil, tidak boleh bergerak walau sedikitpun. Demikian juga anggota-anggota badannya tidak ada yang boleh digerakkan. Selama empat tahun itu pula, beliau tidak ada selera makan, tidak ada selera minum, apalagi mengumpuli isterinya.

Sesetengah kaum muslimin telah datang melihatnya ketika dia terlantar di atas katil, tetapi bukan untuk menyatakan simpati dan kasihan kepadanya. Sebaliknya mereka datang hanya untuk melihat penderitaannya.

Suatu hari datang seseorang melihatnya sambil berkata: "Demi Allah, aku datang kepadamu bukan untuk melawat engkau. Akan tetapi aku datang hanya untuk mengucapkan takziah terhadap dirimu sendiri. Aku bersyukur kepada Allah yang telah memenjarakan engkau dan seluruh jasad engkau di tempat tidurmu ini. Aku bersyukur pula kepada Allah kerana Dia telah menyeksa engkau dengan siksaan yang pedih, yang lebih pedih dari seksaan di setiap penjara."

Pada satu hari Sabtu, akhir Muharam tahun 240 Hijrah, Ibnu Abi Daud kembali ke Rahmatullah. Mayatnya hanya disolatkan oleh anaknya dan kemudian dikuburkan di dalam rumahnya di Baghdad.

 

Alang Jaafar, Darul Nu'man, Jalan Masjid India, K.L.

Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Rencana Pilihan