Make your own free website on Tripod.com
 

Mencari Hidayah Dalam Kehidupan

HIDAYAH ialah petunjuk Allah kepada hamba-Nya untuk jalan yang baik. Amat banyak caranya untuk mendapatkan hidayah.

Ada cara kita berusaha dan ada pula cara pemberian Allah kepada hamba-Nya yang terpilih.

Cara berusaha ialah dengan melakukan segala ibadat, amal, membuat kebajikan, menolong sesama manusia dan apa juga perbuatan baik yang diredai oleh Allah s.w.t.

Hidayah yang satu lagi ialah pemberian Allah yang terdapat dalam pelbagai bentuk. Umpamanya memberikan kefahaman agama.

Oleh yang demikian, kita sebagai Muslim hendaklah sentiasa berdamping dengan Allah kerana ia dapat membawa kepada kedamaian. Cara ini boleh diusahakan dan tidak dikhususkan kepada seseorang individu atau kepada sesuatu kumpulan saja.

Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa meminta petunjuk atau hidayah daripada Allah s.w.t dan kita tidak rugi walau sedikitpun jika selalu berdampingan dengan Allah.

Sekiranya manusia dibiarkan seorang diri mencari kebenaran yang hakiki tanpa pedoman dan petunjuk, ditakuti mereka akan tersesat kerana untuk mencari kebenaran terlalu panjang dan bercabang-cabang.

Dalam al-Quran Allah menceritakan bagaimana keadaan manusia yang mencari kebenaran seorang diri, sepertimana firman-Nya dalam surah al-An'am ayat 76-78 yang bermaksud:

“ Ketika malam telah menjadi gelap, manusia yang mencari-cari ternampak bintang lalu ia pun berkata, inilah Tuhanku. Apabila bintang itu padam dan hilang tenggelam, ia mengatakan aku tidak suka Tuhan yang hilang. Bila dilihatnya bulan mengambang ia pun berkata, itulah Tuhanku.

“Setelah bulan jatuh ia pun berkata, sesungguhnya jika Tuhan tidak memberikan petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk ke dalam orang-orang yang tersesat dan apabila dia melihat matahari terbit, maka ia berkata, inilah Tuhanku yang lebih besar dan apabila matahari terbenam dia berkata sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang mahu mempersekutukan.”

Ayat yang disebutkan dalam surah al-An'am itu mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s yang menunjukkan kepada kaumnya bagaimana untuk mencari Allah s.w.t yang sebenar. Nabi Ibrahim yang telah mengenali Alah cuba mengajak kaumnya berfikir kewujudan Allah yang sebenarnya.

Allah yang bersifat pengasih dan amat penyayang itu mengasihi seluruh umat manusia dan sentiasa memberi hidayah kepada umatnya supaya dapat mengenali Tuhan.

Untuk mencapai matlamat itu Allah memilih beberapa nabi dan rasul yang ditugaskan menerima wahyu dan menyampaikan pengajaran itu kepada umat manusia.

Oleh yang demikian nabi, rasul, wahyu dan juga al-Quran menjadi petunjuk kepada umat manusia keseluruhannya.

Apakah jalan mendapatkan hidayah? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Sesungguhnya akal boleh digunakan untuk mendapatkan hidayah. Pergunakanlah akal yang diberikan Allah kepada manusia itu sebaik-baiknya.

Hidayah tidak datang dengan sendirinya. Hidayah adalah sesuatu yang perlu dicari dan diselidiki, perlukan usaha oleh manusia kerana salah satu daripada ciri Islam ia tidak datang dengan sendiri tetapi ia datang dengan kita mencarinya.

Sesungguhnya, petunjuk Allah itu amat penting untuk mencari hakikat kebenaran. Jalan menuju ke arahnya adalah amat mudah sekali.

Di dalam Islam tidak ada perantaraan. Sesungguhnya perasaan keyakinan dan penumpuan yang sepenuhnya menjadi asas mencapai hidayah.

Antara ayat al-Quran yang dapat memandu manusia mencapai petunjuk Allah ialah:

“Sesungguhnya tidak ada seorang di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah dan mereka tidak mengetahui bila mereka dibangkitkan.” (Ayat 65, surah an-Naml).

“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut, sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran kepada orang-orang yang mengetahui.” (Ayat 97, surah al- An'am).

Setelah menghayati keadaan sekeliling dan mencari tanda-tanda kebesaran Allah selama ini diharapkan semuga iman kita kepada Allah akan bertambah dan hidayah yang kita cari selama ini akan terhasil.
 

 

Sumber: Emedia.com

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Rencana Pilihan |