Seorang tokoh IT meramalkan bahawa suatu masa nanti manusia dapat berhubung antara satu sama lain tanpa sebarang perantaraan, hanya dengan menggunakan keupayaan otak. Ramalan ini dibuat dalam satu ucaptama di Pameran PC Expo di New York. Ia tidak menimbulkan keraguan pendengar kerana ia dibuat oleh Ray Kurzweil. PC Expo adalah satu pameran IT tebesar di dunia dimana semua penemuan baru dalam bidang IT dipertontonkan kepada umum.

Dalam dunia IT, Kurzweil diiktiraf sebagai seorang peneroka. Beliau telah membuka beberapa syarikat yang mengkhusus dalam sintesis muzik atau mencari jalan supaya komputer dapat membaca dan memahami pertuturan manusia. Beliau meramalkan masa depan bidang ini, penuh dengan penemuan canggih.

Antaranya beliau meramalkan otak manusia dapat bergabung dengan robot. Pergabungan ini akan meningkatkan kecerdasan, membolehkan manusia dipindahkan ke alam maya atau virtual reality, atau membuat salinan atau backup kepada ingatan zaman kanak-kanak.

Menurut Kurzweil, banyak orang sedar bahawa teknologi berubah denga pantas tetapi mereka tidak sedar bahawa teknologi berubah dengan amat pantas. Perubahan yang mengambil masa 20 tahun sekarang, mungkin boleh dibuat dalam masa 10 tahun saja pada 2010 dan lima tahun sahaja pada tahun 2020. Ini disebabkan kadar inovasi lebih pantas di masa hadapan.

Jika yang bercakap ini orang biasa, tentu orang itu tidak akan mendapat perhatian. Tetapi Kurzweil dihormati dan pemilihan berucap di PC Expo merupakan satu pengiktirafan. Beliau berpengalaman luas dalam bidang kecerdasan buatan dan applikasinya kepada sistem OCR atau pengecaman aksara secara optical. Para pelabur pula sanggup mengeluarkan  berbillion ringgit untuk kegiatan kajiselidik anjurannya.

Dalam ucapannya, Kurzweil menyebut mengenai kemungkinan robot-robot kecil disuntik ke dalam saluran darah untuk menghubungi sel neuron dalam otak. Mereka juga boleh menghantar maklumat ke dunia luar melalui perhubungan radio dan satelit. Katanya, perkembangan ini akhirnya membolehkan manusia yang disuntik robot tadi dapat berhubung secara satu sama lain tanpa perantaraan. Contohnya A dapat memindahkan rakaman pengalaman yang dilaluinya kepada si B tanpa menggunakan wayar atau alat.

Perkembangan ini memerlukan teknologi perkomputeran berkuasa tinggi dan perubahan rekabentuk sistem komputer yang ada sekarang. Komputer ini seperti otak manusia, berupaya memprogram diri sendiri.

Kini komputer boleh mengecam tulisan, membaca dan bercakap. Apabila Kurzweil mula melahirkan pandangannya dulu mengenai hal ini, ramai yang tidak mempercayainya. Tapi kini Kurzweil telah membuktikannya.

 

Sumber: Berita Harian, 3 Julai 2000.

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Rencana Pilihan |