Yang mempunyai kuasa cenderung melakukan rasuah, 
malahan yang memiliki kuasa mutlak menghalalkan segala-galanya. 


Manusia lahir bersama nafsu dan keegoan, bersama keinginan dan kepentingan dan peredaran waktu dan perkembangan daya fikir kemudiannya telah membentuk sikap manusia, sikap yang berbagai-bagai yang biasanya banyak didorong atau dipengaruhi oleh hanya satu daripada dua unsur yang wujud dalam diri manusia itu sendiri. Kalau unsur yang baik, jadilah ia manusia yang bersih jiwa dan hatinya. Jika sebaliknya, maka jadilah manusia itu makhluk yang hidupnya dihambakan oleh nafsunya sendiri; akhirnya jadilah ia manusia yang tidak bermoral dan melanggar batas-batas susila kemanusiaan.Manusia sentiasa mahu memiliki kelebihan diri dan keunggulan diri lebih daripada orang lain. Kerana manusia biasanya amat mudah tertarik pada kemewahan; kereta besar, rumah besar, pangkat besar, apa saja yang diingini mesti besar-besar dan impian atau igauan yang tidak berpenghujung. 

Bermula daripada sikap beginilah manusia berusaha mencari sesuatu yang mampu memenuhi segala impiannya dan yang paling mudah untuk mendapatkannya ialah dengan memiliki kuasa. Kuasa sepertimana yang kita maklum bagaikan telah menjadi buruan hidup sejak zaman berzaman. Kuasa bagaikan menjadi idaman sebahagian orang dengan andaian bahawa dengan memiliki kuasa segalanya akan menjadi mudah selaras dengan naluri manusia itu sendiri yang tidak puas dengan apa yang dimiliki. Kuasa juga mampu menjadi-kan seseorang itu kuat dan kadangkala kebal. Bagi sesetengah orang, kegilaan untuk memiliki kuasa boleh menjadikan ia senang untuk hilang pertimbangan sehingga ada ketikanya boleh melampaui batas sehingga sanggup mengaibkan diri sendiri, tergamak mengenepikan kepentingan orang lain, malah di sesetengah situasi, tergamak bertindak membunuh sesiapa sahaja yang menjadi saingannya atau sesiapa juga yang boleh atau mahu menggugat kewibawaannya.

Walaupun tidak pernah tercatat dalam mana-mana sejarah atau manuskrip tentang siapa yang mengajar manusia menggilai kuasa atau siapa yang meniru siapa, yang jelas perebutan kuasa berlaku di mana-mana. Penyelewengan kuasa terjadi di merata tempat. Selagi ada kelompok manusia, akan wujudlah perebutan dan penyelewengan kuasa iaitu suatu tabiat
yang tidak mengenal warna kulit, bangsa atau agama dan tidak kira di benua mana mereka berada kerana ia berkait rapat dengan nafsu. Manusia sentiasa mempunyai keinginan yang panjang. Memiliki kuasa sesungguhnya suatu yang baik sekiranya kuasa berada di tangan orang yang jujur dan amanah yang memanfaatkan kuasa pada kebaikan demi kesejahteraan insan sejagat. 

Sebaliknya kuasa jugalah yang telah menjadi punca kepada sesetengah musibah di muka bumi ini. Kuasa menjadikan batu pemisah di mana kawan menjadi lawan dan manusia hidup berpuak-puak. Kuasa boleh meruntuhkan nilai diri seseorang itu dan boleh menjadi ia seorang pembohong, pengkhianat amanah, melupakan tanggungjawab dan mengkhianati sifat kemanusiaan itu sendiri. Rata-rata manusia memang sentiasa mahu dihormati dan dikagumi, disanjung dan dipuja  sepertimana 
pendapat Karl Marx, "Umumnya manusia cenderung mencari tiga perkara ini, iaitu mula-mula kuasa, selepas itu kekayaan dan kemudian sanjungan." Malah dengan adanya kuasa wang dan harta yang akan datang mencari orang yang memegang kuasa. Apabila hartanya telah bertimbun, dengan sendirinya datang pula sanjungan kepadanya. Begitulah berkuasanya kuasa. 

Pada zahirnya kuasa bermakna pengawalan kepada sesuatu secara total atau mutlak, atau amanah yang diturunkan kepada seseorang sebagai suatu kuasa yang membolehkannya melaksanakan tanggungjawab termasuk mengawal, memimpin atau mengetuai sesuatu organisasi. Tentunya kuasa itu menuntut suatu martabat maruah dan harga diri bagi orang yang memilikinya lebih-lebih lagi kerana kuasa mempunyai segala hak. Malangnya kegagalan mengawal nafsu dan melaksanakan amanah menurut bidang kuasa yang diberikan, mendorong manusia melakukan berbagai-bagai penyelewengan kuasa, salahguna kuasa dan mabuk kuasa. Akibatnya berlakulah segala macam penyelewengan moral dan material, hilang harga diri, hilang rasa
malu, tergamak melakukan sesuatu yang di luar batas susila kehidupan.

Kesan daripada salah laku seumpama itu, maka berlakulah jenayah pengurusan yang beraneka wajah seperti penipuan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan kedudukan, pembaziran harta awam dan wang ringgit oleh orang yang memiliki kuasa dan berpakaian kemas, yang lazimnya berkemeja putih dan bertali leher tetapi akhimya dikenal pasti sebagai 
penjenayah kolar putih semata-mata kerana mementingkan diri sendiri, tamak haloba, tidak bermaruah dan tidak bertanggungjawab.


Kehadiran manusia seperti yang disebutkan di atas tadi sering memberikan implikasi yang amat mengharukan, memalukan dan merugikan, kerana mereka mengetepikan etika kerja, peraturan dan mengingkari arahan. Urusan rasmi kerajaan boleh dijual beli. Setiap khidmatnya mesti disusuli dengan ganjaran. Penguatkuasaan undang-undang diabaikan. Agihan harta dan khidmat awam hanya kepada pihak tertentu sahaja yang pastinya ada imbuhan yang dijanjikan. Mereka mengkhianati pentadbiran kerajaan, rakyat dan diri sendiri. Pada hari ini mencari kekayaan melalui kuasa dan pengaruh yang dimiliki bagaikan telah menjadi suatu kemestian, bahkan ada orang yang lebih cenderung memikirkan bagaimana dan berapa banyak harta kekayaan yang boleh dihimpun berbanding memikirkan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebab itulah di sesetengah tempat ada ketikanya berurusan dengan orang yang ada kuasa menjadi terlalu payah. Urusan rasmi tidak lagi berpandukan peraturan. 
Sebaliknya telah menjadi kerja peribadi. Urusan harus diiringi dengan janji. Perbincangan perlu diselesaikan di meja makan atau dengan ayat yang lebih mudah difahami, urusan akan lebih mudah dan cepat kiranya pemberian rasuah menjadi bahan pelincir. 


Kuasa memainkan peranan penting dalam meluluskan tender, projek, pinjaman atau kontrak. Kuasa boleh menentukan salah atau tidak sesuatu pelanggaran undang-undang memiliki rumah murah, lot saham, tanah atau apa saja yang berpotensi untuk ditawarkan. Ungkapan yang berbunyi, "Jangan bimbanglah Encik Mat, saya yang luluskan tender tu" atau, 'Projek  besar ni Encik Mat, kalau saya luluskan jangan lupa persen untuk saya!" adalah nada yang hanya mampu dituturkan oleh mereka yang memiliki kuasa. Suara keramat yang ada maksud dalam kata, harapan dalam niat dan wang dalam budi! Kalimah inilah yang 
dilafazkan di bangunan berdinding batu sama ada milik kerajaan mahupun korporat.

sumber : http://www.jaring.my/bpr/wawan.htm

| Kembali Ke Laman Utama | Arkib Rencana Pilihan |