HIDAYAH ialah petunjuk Allah kepada
hamba-Nya untuk jalan yang baik. Amat banyak caranya untuk mendapatkan hidayah.
Ada cara kita berusaha dan ada pula cara pemberian Allah kepada hamba-Nya yang
terpilih.
Cara berusaha ialah dengan melakukan segala ibadat, amal, membuat kebajikan,
menolong sesama manusia dan apa juga perbuatan baik yang diredai oleh Allah
s.w.t.
Hidayah yang satu lagi ialah pemberian Allah yang terdapat dalam pelbagai
bentuk. Umpamanya memberikan kefahaman agama.
Oleh yang demikian, kita sebagai Muslim hendaklah sentiasa berdamping dengan
Allah kerana ia dapat membawa kepada kedamaian. Cara ini boleh diusahakan dan
tidak dikhususkan kepada seseorang individu atau kepada sesuatu kumpulan saja.
Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa meminta petunjuk atau hidayah daripada
Allah s.w.t dan kita tidak rugi walau sedikitpun jika selalu berdampingan dengan
Allah.
Sekiranya manusia dibiarkan seorang diri mencari kebenaran yang hakiki tanpa
pedoman dan petunjuk, ditakuti mereka akan tersesat kerana untuk mencari
kebenaran terlalu panjang dan bercabang-cabang.
Dalam al-Quran Allah menceritakan bagaimana keadaan manusia yang mencari
kebenaran seorang diri, sepertimana firman-Nya dalam surah al-An'am ayat 76-78
yang bermaksud:
“ Ketika malam telah menjadi gelap, manusia yang mencari-cari ternampak
bintang lalu ia pun berkata, inilah Tuhanku. Apabila bintang itu padam dan
hilang tenggelam, ia mengatakan aku tidak suka Tuhan yang hilang. Bila
dilihatnya bulan mengambang ia pun berkata, itulah Tuhanku.
“Setelah bulan jatuh ia pun berkata, sesungguhnya jika Tuhan tidak memberikan
petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk ke dalam orang-orang yang tersesat dan
apabila dia melihat matahari terbit, maka ia berkata, inilah Tuhanku yang lebih
besar dan apabila matahari terbenam dia berkata sesungguhnya aku berlepas diri
daripada apa yang mahu mempersekutukan.”
Ayat yang disebutkan dalam surah al-An'am itu mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s
yang menunjukkan kepada kaumnya bagaimana untuk mencari Allah s.w.t yang
sebenar. Nabi Ibrahim yang telah mengenali Alah cuba mengajak kaumnya berfikir
kewujudan Allah yang sebenarnya.
Allah yang bersifat pengasih dan amat penyayang itu mengasihi seluruh umat
manusia dan sentiasa memberi hidayah kepada umatnya supaya dapat mengenali
Tuhan.
Untuk mencapai matlamat itu Allah memilih beberapa nabi dan rasul yang
ditugaskan menerima wahyu dan menyampaikan pengajaran itu kepada umat manusia.
Oleh yang demikian nabi, rasul, wahyu dan juga al-Quran menjadi petunjuk kepada
umat manusia keseluruhannya.
Apakah jalan mendapatkan hidayah? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda
tanya. Sesungguhnya akal boleh digunakan untuk mendapatkan hidayah.
Pergunakanlah akal yang diberikan Allah kepada manusia itu sebaik-baiknya.
Hidayah tidak datang dengan sendirinya. Hidayah adalah sesuatu yang perlu dicari
dan diselidiki, perlukan usaha oleh manusia kerana salah satu daripada ciri
Islam ia tidak datang dengan sendiri tetapi ia datang dengan kita mencarinya.
Sesungguhnya, petunjuk Allah itu amat penting untuk mencari hakikat kebenaran.
Jalan menuju ke arahnya adalah amat mudah sekali.
Di dalam Islam tidak ada perantaraan. Sesungguhnya perasaan keyakinan dan
penumpuan yang sepenuhnya menjadi asas mencapai hidayah.
Antara ayat al-Quran yang dapat memandu manusia mencapai petunjuk Allah ialah:
“Sesungguhnya tidak ada seorang di langit dan di bumi yang mengetahui perkara
yang ghaib, kecuali Allah dan mereka tidak mengetahui bila mereka
dibangkitkan.” (Ayat 65, surah an-Naml).
“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya
petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut, sesungguhnya Kami telah
menjelaskan tanda-tanda kebesaran kepada orang-orang yang mengetahui.” (Ayat
97, surah al- An'am).
Setelah menghayati keadaan sekeliling dan mencari tanda-tanda kebesaran Allah
selama ini diharapkan semuga iman kita kepada Allah akan bertambah dan hidayah
yang kita cari selama ini akan terhasil.
Sumber: Emedia.com